urusniaga eksistensialisme dalam era moden
dalam dunia serba maju ini, setiap kita membina imej diri dengan lebih egoistik berbanding sebelumnya. yang bermazhab bersikap sombong dengan mazhabnya, yang berparti politik takjub sampai putus saudara. hal ini tidak dinisbahkan kepada semua, namun ia menjadi realiti yang semakin kerap muncul di suapan maya. bahkan, yang tidak beragama (ateis) dan non-partisan pun mulai bersifat egoistik.
kenapa? kita bertanya. kerana kemodenan yang tidak bersempadan telah menelanjangi privasi kita. dengan itu, kita cenderung melakukan tiga perkara ini: lebih proaktif dalam membela pandangan sendiri, lebih kerap bersikap kritis terhadap pandangan orang lain dan lebih banyak melakukan kebaikan kerana orang lain melakukannya, bukan kerana ia perlu dibuat.
dunia maya telah merendahkan keyakinan kita terhadap diri-sendiri. melihat orang lain berjaya dan kaya-raya, kita mulai melihat diri-sendiri sebagai tersimpan oleh kemiskinan. melihat orang lain berbusana mewah dan berwajah lawa, kita mulai meragui nikmat keindahan yang Tuhan berikan. sampaikan kejayaan kita yang besar, kita anggap kecil saja. ini namanya sindrom si pura-pura ('impostor syndrome's).
justeru, kita yang kurang yakin ini mulalah mengikut saja trend yang diserikan oleh massa. kita berebut-rebut menjadi kaya, menjadi tampan dan jelita. kita kumpul segenap amal dan kongsikan di internet supaya keyakinan diri kita terbina, bahawa kita hidup ini ada erti, ada sumbangan, ada bekas yang menggema dalam semesta dunia maya. apa konsekuensinya? kita pula yang menyebabkan orang terkemudian berkejar-kejaran ke arah apapun yang telah kita contohkan.
masalah dengan tanggapan ini adalah diri peribadi dan diri sosial kita semakin besar jurang perbezaannya. hipotesis yang merenteti hal ini adalah pertambahan krisis identiti diri dan krisis eksistensial yang semakin memenatkan. akhirnya, hidup kita habis untuk memberi orang lain peluang untuk memberinya markah.
kekayaan, kebaikan, kecantikan dan pengaruh adalah benda-benda manis dalam hidup. berkongsi atas dasar mahu menyebarkan kebaikan juga adalah hal yang manis dan bererti. tapi, bila kita semak halaman hari ini, adakah sentiasa bersosial di internet atas tujuan demikian? ini soalan yang kita sendiri perlu fikir-fikirkan.
Comments
Post a Comment