begitulah kehidupan, terkadang kau diuji, terkadang kau sendiri ujian
kita lahir ke dunia dalam keadaan lemah, merengek dan perlukan perhatian. hatta adolf hitler pun tidak bisa naik menaiki takhta jerman dengan gunapakai nama bangsa aryan tanpa seorang wanita bernama klara. daripada kitab Tuhan kita mengiktibari keajaiban kuasa ibu atau bapa membesarkan para utusanNya, juga melalui karya-karya klasik kita mendapati betapa buruknya kesan tidak beribu berbapa. namun bukan pasal keibubapaan ini yang ingin ditonjolkan di sini.
dek lahir tidak sempurna, seringkali saja kita menyalahi apa yang dikatakan sebagai baik, benar, bagus dan berasas. si ibu ayah yang membesarkan kita pun, selalu saja kita berontak kepada mereka, meskipun dalam diam. undang-undang negara kita langgar, dari sekecil membuang sampah di premis awam kepada jenayah membunuh dan merogol. manusia makhluk yang amat terdedah kepada kesan-kesan ketidaksempurnaannya. namun, inipun, terlalu besar untuk dibicara.
dalam kalangan kawan-kawan, sifat dan sikap kita terkadang merupakan ujian getir buat mereka. kita tidak makan tauhu, sedangkan kawan-kawan kita kepingin betul makan mi tauhu; kerana kita mereka beralah. kita mahu ponteng kelas, kita minta bantuan si kawan untuk berkomplot menandatangani kehadiran kita ke kuliah. pernahkah sekali-sekala kita merenung hal ini?
mungkin sekali jarang, kerana kita kisah pasal apa yang menimpa diri kita. tatkala kawan-kawan berkeras hendak makan mi tauhu, kita pun berkeras mahu makan di restoran lain lalu merajuk ke sana. bilamana mereka takut menandatangankan kehadiran kuliah kerana menghormati etika selaku bakal guru, kita gelar mereka dengan pelbagai gelaran, antaranya, "bilang kawan, itu pun susahkah?". pertimbangan kita mereng ke arah mana kita berdiri.
jadi, setiap kali merasa diri sukar memaafkan orang lain, ingatlah bahawa kadang-kadang kita ini juga ujian kepada mereka. sebagaimana kita mahu dimaafkan, begitulah juga sepatutnya kita mampu memaafkan. tidak ada untungnya menyimpan dendam, ianya seperti menyimpan buah pisang. lama-lama pisang tersebut akan buruk, dan ruang yang akan dihurung bau itu adalah ruang hatimu. iya, benar, mereka bikin panas, tapi bukankah mereka makhluk tidak sempurna? masakan kau mahu memarahi seorang bayi yang termuntah pada bajumu? itulah ala kadarnya metafora hal ini.
Comments
Post a Comment