memento mori dan ego berbatas

"alangkah anehnya manusia, mereka boleh mencintai orang lain melainkan diri mereka sendiri, lantas menggelupur tatkala merasakan diri mereka kekurangan rasa cinta. mereka berlari ke tepi pantai dan ke gunung-gunung, membongkar perasaan pada hal-hal yang tidak bertelinga, meratap kehidupan lalu yang telah dilalui sepi, serta kehidupan akan datang yang sama sunyi. jiwa mereka terlalu kelam-kabut dengan perkara yang tangan mereka tidak mampu kawal, sedang apa yang Tuhan kurniakan di dalamnya mereka putuskan sebagai kegilaan semata. diri mereka seolah-olah lenyap di mata masyarakat, mereka mulai menuhankan sekumpulan manusia dengan memberikan khidmat taat tanpa berbelah-bahagi. tidakkah mereka sedar, demi nama cinta, bahawa diri mereka adalah 'orang lain' juga, yang layak dicintai dan ditumpahkan segala kewajaran?"

kau bangun, matahari terbit. jemarinya menyelinap dari langsir putih yang berkibar seperti bendera si pengalah. cahaya itu timbul-tenggelam dalam kegelapan bilikmu yang penuh tampalan poster dan gambar-gambar memento, bergantung kepada tiupan angin yang menggerakkan fabrik tingkapmu. kau masih terkulai di situ, oleh kelemahan dan keengganan bangkit berjuang. mimpi semalam terasa terlalu benar, terlalu indah. semua realiti ini; matahari, tingkap, langsir dan kipas siling, semuanya umpama sindrom kutukan kewujudan. syahdunya mimpi semalam, kauterbang di antara kepul awan dan di antara bumi dengan bintang. pada saat ini, barangkali kau sudah berada dalam fasa penolakan: kau selamanya -- baca: sampai mati -- akan terjerat dalam realiti serupa

ada antara kita, demi melakukan aksi eskapisme, mengahwini seseorang. kita kata, ianya atas dasar cinta, dasar kasih yang telah difitrahkan. sungguhkah begitu? ataukah sebenarnya kita terpengaruh oleh rakan-rakan sekeliling yang menghantar gambar persandingan bertenda biru berjanur kuning? ataukah kita sebetulnya terlalu takut untuk menjalani kehidupan ini sendirian, penuh persoalan yang jawapannya di luar gapaian kita? dan, proses berumahtangga itu, bukankah pra-iringan ke lubang kubur, di mana yang satu terpaksa melihat yang lagi satu pergi dulu? jangan salah anggap, perkahwinan adalah suatu hal mulia dan dilaksanakan penuh berani. namun, tidak payahlah kita berselindung bahawa ia sebenarnya bertujuan mengurangkan kegusaran eksistensialisme kita.

kepada masyarakat pula... apa saja hal peribadi kita yang mampu mereka selesaikan. kita keluar dari pusat urut bertujuan mendapatkan urutan refleksologi, berapa peratus keyakinan kita bahawa mereka tidak akan memperkatakan hal berbeza? kita lebih mudah dibantai dengan tohmahan berbanding pujian; puji-pujian, kalau adapun, harus kita pandang dengan sinis; bukan dengan prasangka bahawa mereka tidak ikhlas, namun dengan pengetahuan bahawa apa yang tersemat dalam konsep ego kita sebenarnya jauh berbeza daripada apa yang mereka harap mereka tahu. kita hanya mampu berdoa supaya pujian mereka ikhlas, dan kita layak mendapatkannya, tanpa mengharapkannya, apalagi bergantung kepadanya. masyarakat hanya akan membentukmu menjadi apa yang mereka perlu, dan bukan sebaliknya. untuk menjadi anggota massa benar-benar bermanfaat, kau perlu tahu ini.

segala apa yang kita ada dan kenal akan lupus juga oleh pijakan masa. apa yang kita ada dan kenal hanyalah peminjaman, cagaran bagi rasa derita yang kita deritai. Tuhan tidak kejam, manusia yang lemah. kita mencari jawapan pada yang melontarkan soalan, melontarkan soalan kepada yang memerlukan jawapan. detik kita merenung kipas siling dan menyaksikan langsir tingkap bergelojak dek bayu pagi akan pergi tanpa sebarang rakaman yang boleh diulang tayang. alangkah baiknya di sebalik semua kesederhanaan ini, kita sisipkan kesedaran tentang betapa singkatnya ia, betapa mortal dan rapuhnya ia. tiada siapa akan mengenalmu lagi selepas dua ratus tahun, seperti juga penulisan ini yang aksaranya kan kabur ditiup ribut takdir. maka, kenapa kita perlu risau sentiasa, ia akan berlaku jua! oleh itu, tugas kita bukan meratap, tugas kita bersedia menanti penuh sabar, waktu kefanan kita tiba.

Comments

Popular posts from this blog

ketawa lalu menggigil

sebenarnya, demi jiwa, teman itu apa?