sot-sot: renungan selaku manusia
ada beberapa perkara yang kita telah (atau masih) lakukan, yang sangat buruk, yang kita tidak mahu orang lain tahu, meskipun mereka yang benar-benar kita sayang. rupa dan karisma memang antara ciri peribadi yang terpenting, namun yang jauh lebih berpengaruh kepada rupa paras diri adalah perkara-perkara yang kita rahsiakan tadi (mulai sekarang dipanggil 'sot-sot'). kerana, berbanding rupa paras, keterampilan dan karisma yang boleh dibuat-buat, sot-sot adalah nyata, real dan bukan produk tekanan masyarakat ke atas kita. ia adalah ketumbuhan yang semulajadi, terhasil daripada pengalaman hidup dan kecenderungan genetik.
tiada manusia terkecuali dalam hal ini. dari perdana menteri kepada seorang juruseptik najis, semuanya adalah sot-sot yang tidak diketahui melainkan oleh dirinya dan Tuhan. kerana itulah, sebahagian pemikir mengatakan, kalau kau mahu dekat sama Tuhan, renungkan sot-sotmu di atas sejadah. kalau ia buruk, ia menjadi asbab memohon ampu; kalau ia baik, ia menjadi alasan untuk merafakkan kesyukuran. kerana, dalam hal ibadah, semuapun beribadah; dalam hal bermasyarakat, kita semua memakai semacam topeng masyarakat; dalam bersikap, kita ada sikap eksternal yang separuhnya bertujuan untuk meyakinkan orang akan kedirian kita.
kesedaran mengenai wujudnya sot-sot tidak seharusnya digunakan untuk memfitnah orang lain, misalnya: seorang lelaki, kita terka sot-sotnya. tidak. bahkan, kesedaran ini seharusnya menjadikan kita manusia yang lebih bersifat merendah diri, betapa di sebalik keangkuhan dan keakuan kita, di sebalik kejayaan dan keterampilan yang menonjol pada luaran, ada suatu hal -- sot-sot -- yang jika terbongkar, menghapuskan segala makna peribadi kita. ia juga peringatan, bahawa orang lain pun ada sot-sot, kita cuma tidak tahu apa ia, dan dari situ kita berasa aman dengan diri-sendiri.
protokolnya, jangan sot-sot itu menjejaskan ruang orang lain untuk bersot-sot.
Comments
Post a Comment