nilailah buku pada kulitnya

ke sebuah toko buku, semua buku yang dijual sama saja kulitnya. yang berbeza, adalah ketebalannya saja. kau laparkan suatu pembacaan yang memberi kesan, dan di pekan tempat kautinggal hanya ada toko buku itu.

orang akan mengatakan, pilihlah saja mana-mana buku, kenali ia, baru kaunilaikan buku tersebut. jangan nilai buku pada kulitnya, tambah mereka. kauambil senaskhah buku daripada puluhan ribu naskhah yang memenuhi puluhan rak-rak kayu. kau ke kaunter, membayar, lalu membaca helaian pertama buku itu.

"kerana manusia, diciptakan mata juga, bukan hanya sekadar hati."

paling tidak, kulit buku adalah suatu janji tentang kandungannya. itu pertama. kedua, buku yang baik haruslah mengambil kira juga tajuk dan reka riasnya. bahkan buku simpulan bahasa yang memasukkan pepatah "jangan menilai buku pada kulitnya" pun, ada tertulis di muka hadapan, "100 pepatah paling berguna kepada manusia".

urusan kita bukan hati manusia. kalau boleh, elakkanlah menilai seseorang terlalu kritis; cintailah mereka apa adanya. kerana, hidup kita ini bukan mahu mengambil tahu soal hati orang lain, ia adalah tentang jawapan kita untuk soal hati kita sendiri. jawab semua soalan kalbu diri, baru boleh memandai membuat inferens tentang orang lain.

masalah, akankah selesai soal hati manusia?

mungkin tidak. maka, untuk itu, mungkin kita perlu membelek sebuah buku berjudul cinta (judul itu tertera di muka depannya) dan mulai membacanya perlahan-lahan. mungkin, di bahagian akhir pembacaan akan tertulis seperti ini:

"hati adalah halaman, ilmu adalah kalam, isi kandungannya pengalaman, tatabahasanya kesantunan, kulitnya keperibadian."

Comments

Popular posts from this blog

ketawa lalu menggigil

sebenarnya, demi jiwa, teman itu apa?

memento mori dan ego berbatas