malam adalah pujuk rayu

...untuk segala kepahitan yang menjalari dari lima deria kepada pemikiran, kepada perasaan. yang kita labelkan sebagai 'buruk' hanyalah fenomena yang ditakdirkan berlaku untuk kita sama-sama perhatikan konsekuensinya dan sama-sama merefleksi diri akan responnya kepada hal 'buruk' itu.

sepertinya, perihal 'buruk' adalah validasi akan sikap sebenar kita terhadap Tuhan; ta'amul jiwa yang kita dan Dia sahaja mengetahui. ini adalah daerah yang sangat eksklusif, bahkan daripada orang-orang yang paling kita sayang. ia bukan platform untuk bertindak liar, ia platform untuk bertindak lurus lagi benar.

malam ini, gelap dan suamnya mendesak kita untuk mendalami sejauh mana kita yakin kepada ilmu sendiri, yakni cahaya sebenar hati yang menyuluhi kesuraman hidup. malam ini, dengan fesyen nirmala tanpa cahaya, menyindir kosongnya hidup ini. yang ada hanyalah nyanyian cengkerik malam nan syahdu.

mestikah kita ini, setiap hari, mengejar hal yang berlebihan, atau adakah yang seadanya hal yang paling baik? adakah cahaya bulan sahaja mencukupi untuk menghindar kejahatan makhluk yang bersembunyi di sebalik seluruh bayang-bayang, atau adakah kita perlu mengejar impian sinar yang kelam, hanya dipancarkan bintang polaris di hujung ufuk?

kita diajar untuk mengejar cahaya, tapi dalam kesiangan yang terang-benderang, cahaya yang mana perlu kita kejar? adakah agama mampu menyelamatkan seorang manusia, yang, sudahlah menderita pahit di tenggorokan, perlu mempunyai fakulti mengamir antara cahaya palsu dan kebenaran?

selamat malam, dunia.

Comments

Popular posts from this blog

ketawa lalu menggigil

sebenarnya, demi jiwa, teman itu apa?

memento mori dan ego berbatas