kuasa viral rukun iman keberapa?

dari siapa kautahu kau layak untuk hidup? sebelum itu, adakah kau rasa kau layak untuk hidup? kalau iya, apa dan bagaimana kaumengetahuinya? sama ada kau tidak mampu menjawap soalan ini, atau memang sebetulnya, tiada kelayakan untuk hidup. kau sekadar, ada; dilahirkan, hidup dan menempuh jalan sukar ke arah kematian.

yang pasti, kau akan berbisik, "Tuhan tidak mungkin tersalah sewaktu menciptakanku!"

sekarang, ayuh kita tukar peranan. kaujawabkan soalan yang sama untuk seorang, yang, katalah, menjadi salah-seorang daripada sepuluh perempuan yang membelasah seorang perempuan lain. adakah jawapanmu untuknya sama seperti jawapanmu untuk diri-sendiri? atau, adakah kau akan mengatakan bahawa dia sememangnya layak dihinakan dan dibenci?

kes pukul-memukul tidak pernah selesai semenjak internet dan kuasa viral menyelinap ke dalam masyarakat kita. bahkan, kita menyaksikan pentas yang lebih luas untuk budaya sakit ini timbul menjadi topik hangat. kita sendiri, yang laparkan hormon morfin merayap dalam sistem saraf, menyebarkan hal demikian tanpa berfikir panjang.

"takkanlah Tuhan tersalah sewaktu menciptakan dia!?"

iya, kita mahukan keadilan untuk mangsa. namun lebih daripada itu, adalah jiwa yang benar-benar serius bersikap dwiarah dalam menilai keadaan jiwa; kita asyik menyebarkan kejahatan orang, kejahatan diri bagaimana pula? adakah kita tidak mengambil kira isu krisis diri yang membuang sampah merata-rata dan isu menyeleweng duit syarikat?

juga, kepada siapa kita beriman, yakni berhenti melakukan kejahatan disebabkan olehnya? kepada lensa kamera atau kepada Tuhan? didikan kita perlu menerapkan takwa kepada Tuhan atau kepada masyarakat?

keadilan kepada mangsa tidak hanya bisa didapatkan dengan kuasa viral. keadilan didapatkan melalui institusi yang bekerja dan masyarakat yang prihatin dengan cara yang betul. aku tidak mengherdik sesiapa, setiap orang lain caranya. aku cuma berusaha memujuk, supaya kita jaga diri dan keluarga dari terlalu beriman kepada kuasa viral.

semoga Tuhan mengubati sakit si mangsa buli, sakit jiwa si para pembuli, dan sakit sukma kita yang semakin tenat ini. amen.

Comments