kesedihan adalah melodi latar hidup

bilamana kau sendirian, terbaring di atas katil dek kepenatan melayan siang hari yang haru-biru, di bilik tidurmu yang gelap, perlahan-lahan merangkak dari lantai ke dalam akal-pikirmu: "sebetulnya, aku hidup dan bekerja ini, untuk apa?"

ia adalah tema kewujudan yang tidak pernah usai dari kewujudan itu sendiri. bahkan, kesepaduan arti kewujudan bersidai pada kesudian kita menerima kesedihan sebagai, mungkin, teman paling setia.

seringkali kita ditakut-takutkan oleh media dan massa, betapa kesedihan adalah keadaan yang seharusnya dijauhi, betapa hidup harus gembira saja sepanjang masa. kita yang naif ini menurut saja, padahal sebetulnya kita hanya mendera jiwa.

ada sesuatu mengenai sifat masyarakat itu sendiri yang membuatkan kita tertarik, lalu mendengar segala omong saranannya.

mungkin kerana kita berfikir, masyarakat adalah jelmaan jutaan jiwa terorganisasi yang telah mengumpul terlalu banyak sejarah, sehingga ia menjadi semacam suatu almanak yang harus dituruti.

mungkin juga, kerana bagi kita demokrasi adalah sistem paling sempurna sehingga suara majoriti menjadi radas kata putus kepada segala tindak-tanduk kita. radas ini, pada kita, sikit saja ralatnya.

dalam memandang ufuk personaliti, kita lebih senang membicarakannya dengan komparasi dengan masyarakat. dalam menyinggung soal hati, instrumen yang kita paling percayai adalah suara orang ramai.

ada beberapa situasi di mana hal sedemikian terbukti salah, yang mana akan disebutkan ringkas saja di sini.

pertama, tatkala mana yang merasai pengalaman itu adalah kau saja. apa saja yang masyarakat lontarkan kepadamu bersumber dari dua punca: deduksi dan pengalaman peribadi mereka terhadap hal sama.

secara fenomenologi, walaupun aspek luaran sesuatu perkara identikal, tiada siapa dapat mengabsahkan ciri-ciri dalaman insiden itu sebagai serupa, bahkan terhadap dua jiwa dengan sifat-sifat yang sama.

ali dan ahmad dua-duanya penakut, apabila ditinggalkan di tempat sunyi, reaksi mereka, serta implikasi pengalaman mereka terhadap situasi itu tetap berbeza. pengalaman hanya autentik, dan hanya bisa dibicarakan oleh yang mengalami.

bukanlah hendak mengatakan metode saling menasihati sebagai tidak relevan, namun sekadar mahu mengingatkan, seandainya seseorang menolak nasihat kita, sepatutnya kita memahami hal sedemikian sebagai perkara biasa. kau tidak gagal.

kedua, tikamana penghakiman masyarakat yang sama diamalkan kepada insan-insan berbeza. soalan "dia boleh melepasi fasa kesedihannya, mengapa tidak kamu?" adalah antara simptom utama hal ini.

kamu gay, namun tiada siapa mahu menyelidiki sebab-sebab kecondonganmu itu, terus-terusan saja menyumpahmu dengan herdikan dan cercaan. lebih teruk lagi, istilah 'gay' itu sendiri seakan suatu lafaz vonis, bukan sekadar suatu status kejantinaan.

hal ini jualah yang menampakkan agama sebagai hal yang kurang memberangsangkan di mata manusia moden. maksud aku, kita tidak lagi menjadikan pegangan kita usaha menenteramkan jiwa, namun sebagai pemutus mutlak darjah keburukan seseorang.

berbalik kepada isu, jika demikian, haruskah kita memekakkan diri kepada semua galakan masyarakat untuk bergembira saja sepanjang masa?

tidak, bahkan kita harus memandang diri kita sebagai orang yang layak bersedih, setelah segala penat-lelah kita bekerja sehari-hari. percayalah, dapat bersedih dengan kesedihan autentik dalam zaman moden ini adalah kelebihan yang tidak semua punya.

itu satu. satu halnya lagi, adalah, kita harus percaya bahawa orang lain menghadapi kesedihan yang serupa saja dengan kita, cuma mungkin berbeza sebab dan darjah (kesedihan kita mungkin jauh lebih baik!). ironisnya, orang lain jua turut memendam kesedihan mereka. sama macam kita.

kita tidak harus melihat kesedihan sebagai hal yang negatif dan perlu dihindari. kita harus melihat ianya sebagai proses metafizik yang sama, seperti kegembiraan dan kesyukuran; ia perlu diambil dengan dosej yang tertentu saja.

andainya kesedihan adalah irama latar hidup ini, mengapa tidak jadikannya musik kepada mana kita menari dan meraikan kepunyaan kita yang orang tidak mahu ambil? kesedihan kan, punya kita jua?

Comments

Popular posts from this blog

ketawa lalu menggigil

sebenarnya, demi jiwa, teman itu apa?

memento mori dan ego berbatas