doktor yang tenat kerananya ubatnya

kau merasakan sesuatu sedang menyakiti hatimu, entahlah; kanserkah, atau radang barangkali. simptomnya, kau kerap batuk-batuk, matamu rabun dan nafasmu tersekat-sekat. lalu, kau membuat keputusan untuk bertemujanji dengan seorang doktor yang mengaku dirinya "rahmat kepada seluruh tubuh".

sesampainya di sana, kau diraikan oleh seorang doktor yang agak comot dan tidak terurus. uniformnya kusut-masai, tidak putih lagi seperti selalu. sambil dia menghuraikan ubatnya, dia terbatuk-batuk, dengan nafas yang kerap putus-putus. dia membaca kad kesihatanmu pun dengan terpaksa mendekatkan kad tersebut seinci dengan matanya.

adakah kau akan mengambil preskripsinya?

kemungkinan besar tidak. kenapa? kalau dia "rahmat kepada seluruh tubuh", mengapa dia sendiri kelihatan tenat? inferensnya cuma dua: sama ada dia menggunakan ubatnya namun tidak berkesan, atau dia tidak mengambil ubat tersebut kerana kurang keyakinan, atau mungkin ianya terlalu pahit sehingga tidak berbaloi untuk ditelan.

atau, wujud kemungkinan ketiga, dan ini paling sadis; barangkali kerana mengambil ubat itulah doktor tersebut batuk-batuk darah, mata menjadi rabun, nafas tidak harmoni, bahkan kaki dan tangan lembik untuk menggerakkan dirinya sendiri. adakah kau masih percaya gelaran doktor tersebut?

kau pun mencarilah doktor dari klinik seberang yang berasal dari amerika. ubatnya mujarab, biarpun ianya sekarang ubat ala anastesia (tahan sakit), sekurang-kurangnya kesakitanmu sirnalah sekejap.

Comments

Popular posts from this blog

ketawa lalu menggigil

sebenarnya, demi jiwa, teman itu apa?

memento mori dan ego berbatas